Tuesday, 3 January 2012

KKBI AGAMA ISLAM,, PPISMP

SOALAN TAKSIRAN 1
WUDUK
Dari segi bahasa : Wuduk bermaksud mengambil air sembahyang.
Dari segi istilah : Wuduk bermaksud membasuh beberapa anggota badan yang tertentu dengan menggunakan air yang dimulai dengan niat. 
 Sabda baginda : yang bermaksud sesungguhnya kebersihan itu sebahagian daripada iman dan tidak diterima solat seseorang bila dia berhadas, sebelum dia berwuduk terlebih dahulu.
         
Hukum berwuduk.
Ø  Berwuduk adalah wajib hukumnya dan ia adalah merupakan salah satu syarat daripada syarat syarat sahnya solat.ini sesuai dengan firman Allah dalam surah Al Maidah ayat 6

 







                                                                                                                                                                     
Maksudnya : [Al Maidah ayat 6] Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku dan sapulah sebahagian dari kepala kamu dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali dan jika kamu berjunub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air) atau dalam pelayaran atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah (debu) yang bersih, iaitu: Sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah debu itu. Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi Dia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan nikmatNya kepada kamu, supaya kamu bersyukur

Rukun wuduk:
1.    Niat
2.    Mambasuh muka
3.    Membasuh kedua-dua belah tangan hingga ke siku.
4.    Menyapu sedikit air di bahagian kepala
5.    Membasuh kaki hingga dua buku lali
6.    Tertib.
Kaifiat berwuduk.
Pertama : Niat
Ini sesuai dengan satu hadis al bukhari yang bermaksud :
daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin 'Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.
iaitu bahawa kita sengaja melakukan perbuatan itu bukan hanya dilakukan sambil lewa sahaja,ia wajib diiktikadkan dalam hati kita
Niat wuduk


maksudnya :
sahaja aku mengambil hadas kecil (wuduk) kerana ALLAH TAALA.  
·         Dari  Humran,hamba sahaya 'usman bin 'affan ra menceritakan bahawa 'usman meminta air untuk berwuduk mula-mula dicucinya ke dua telapak tangannya tiga kali,sesudah itu dia berkumur-kumur dan memasukkan air ke hidung.kemudian dia mencuci mukanya tiga kali,sesudah itu mencuci tangan kanan hingga siku tiga kali,sesudah itu mencuci tangan kiri seperti yang kanan.kemudian menyapu kepala tiga kali.kemudian mencuci kaki kanan hingga ke buku lali tiga kali,kemudian mencuci kaki kiri seperti yang kanan tiga kali.sesudah itu dia berkata "seperti inilah kulihat rasulullah saw berwuduk.sesudah itu rasulullah saw bersabda siapa yang berwuduk seperti wudukku ini dan kemudian dia solat dua rakaat tanpa bercakap dengan dirinya sendiri atau tanpa berangan angan maka akan diampunikannya oleh Allah akan dosa-dosanya yang terdahulu.
·         Sabdanya lagi apabila seseorang itu berwuduk maka ketika dia mencuci mukanya maka hilanglah segala dosa matanya,hanyut bersama air hingga titisan yang terakhir.apabila dia mencuci tangan maka hilanglah pula segala dosa yang diperbuat oleh tangannya.apabila mencuci kaki hapus pulalah dosa dosa yang dilakukan oleh kakinya.juga katanya lagi sesiapa yang berwuduk dengan sempurna maka keluarlah segala dosa dari tubuhnya sehingga dari bawah kukunya juga



Kedua : membasuh muka hingga ke siku.

·         Dimaksudkan  membasuh muka ialah mulai dari tempat tumbuhnya rambut sebelah atas hinggalah ke tulang dagu sebelah bawah dan dari anak telinga wajib menyampaikan air ke seluruh tempat dan juga bulu-bulu termasuk bulu mata,misai,janggut dan sebagainya.
·         Mencuci wajah merupakan salah satu rukan wuduk dan ertinya tidak sah wuduk tanpa mencuci wajah. Allah berfirman yang artinya, “Hai orang-orang yang beriman,
apabila kamu hendak mengerjakan shalat maka basuhlah mukamu.” (QS. Al-Maidah: 6)







Ketiga : membasuh kedua-dua belah tangan .
·         Maksud membasuh kedua-dua tangan hingga ke siku ini bukanlah bererti sampai ke siku sahaja, malah hendaklah dilebihkan had basuhan sedikit ke atas dengan meratakan air keseluruh tangan dan termasuk ke celah-celah kuku ( sekiranya kuku itu panjang).
·         Sekiranya kuku panjang mengandungi kekotoran hendaklah dibuang terlebih dahulu.
·         Pastikan bahawa tiada sesuatu apa pun benda-benda yang menghalang sampainya air ke kulit, begitu juga bulu-bulu yang terdapat pada anggota wuduk.
·         Disunatkan membaca doa semasa membasuh tangan:
Iaitu: “Ya Allah aku berlindung kepada engkau daripada memberikan kepadaku kitab amalanku dengan tangan kiri ataupun dari belakangku”
·         Semasa membasuh tangan kiri disunatkan membaca doa:
Iaitu “ya Allah aku berlindung kepada Engkau daripada memberikan kepadaku kitab amalanku dengan tangan kiri ataupun dari belakangku.
Hadis diriwayatkan oleh lima imam, dishahihkan oleh Tirmidzi.
·         “Aku berkata: ‘Wahai Rasulullah, kabarkan kepadaku tentang wuduk?’” Nabi berkata, “Sempurnakan wuduk-mu, dan bersungguh sungguhlah dalam memasukkan air ke dalam hidung kecuali jika kamu dalam keadaan berpuasa.”
·         Para ulama telah bersepakat tentang wajibnya mencuci kedua tangan ketika berwuduk. Allah berfirman yang ertinya, “Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat maka basuhlah mukamu dan juga tanganmu sampai dengan siku.” (QS. Al-Maidah: 6)

Keempat : menyapu kepala atau sebahagian kepala
·         Mamadailah dengan menyapu sedikit sahaja air ke atas mana-mana bahagian kepala.
Allah berfirman yang maksudnya, “… dan usaplah kepalamu.” (QS. Al-Maidah: 6). Yang dimaksud dengan mengusap kepala adalah mengusap seluruh bagian kepala mulai dari depan hingga belakang. Adapun apabila seseorang mengenakan serban, maka cukup baginya untuk mengusap rambut di bahagian ubun-ubunnya kemudian mengusap sorbannya. Demikian pula bagi wanita yang mengenakan tudung.
·         Selepas menyapu air di atas kepala sunat membaca:
Iaitu:” Ya Allah tutupilah akan daku dengan rahmat Engkau, dan turunkanlah kepadaku keberkatan Engkau, naungilah akan daku di bawah naungan Arasy Engkau pada hari tidak ada naungan melainkan naungan Engkau”



Kelima : membasuh kaki hingga dua buku lali.
·         Sebagaiamana juga tangan, maka apabila disebut buku lali. Begitu juga diwajibkan menyampaikan air ke dalam kuku-kuku kaki dan sebagainya.
·         Disunatkan membaca doa  selepas membasuh kaki kanan dan kiri:
“Ya Allah,tetapkan kedua-dua kakiku pasa sirat, pada hari Engkau jatuhkan kaki-kaki”.
Hadis Abdullah bin Amru r.a katanya:
Suatu hari, kami pulang bersama Rasulullah s.a.w dari Mekah menuju ke Madinah. Di pertengahan jalan, apabila kami tiba di suatu tempat yang mempunyai air kami dapati sekelompok manusia dalam keadaan tergesa-gesa mengambil wuduk kerana waktu Asar hampir luput. Apabila kami menghampiri mereka, kami dapati tumit-tumit mereka kering tidak dibasahi air. Maka Rasulullah s.a.w telah bersabda: Celakalah tumit-tumit yang tidak basah itu dengan ancaman api Neraka. Sempurnakanlah wuduk kamu dengan baik.
Keenam : tertib
·         Iaitu didahulukan mengikut giliran yang ditentukan.
·         Disunatkan memulai dengan bahagian kanan dalam mencuci semua anggota wuduk yang sepasang, kecuali telinga karena keduanya diusap secara bersamaan. Rasulullah SAW bersabda, “Kalau kalian memakai pakaian dan kalau kalian berwudhu, maka mulailah dengan bahagian kanan kalian.”
     (HR. Abu Daud dengan sanad yang shahih)

PERKARA SUNAT BERWUDUK
perkara perkara itu ialah :
1.Menghadap kiblat
2.Membaca bismillah

3.Berkumur-kumur



4. Memasukkan air ke dalam hidung.
5. Membasuh kedua-dua pergelangan tangan.



6.Mendahulukan anggota yang kanan daripada yang kiri


 


7.Membasuh kedua-dua telinga.
8.Mengulangi basuh hingga tiga kali
9.Menjimatkan air
10.Membasuh anggota wuduk itu melebihi dari hadnya. ini sesuai dengan sabdanya pada hari kiamat kelak anda semua akan tampak bercahaya gemilang kerana anda menyempurnakan wuduk anda sebagus bagusnya kerana itu lebihkanlah batas batas tertentu yang diwajibkannya mencuci ketika berwuduk
11.Mengerakkan cincin kalau cincin itu sempit maka wajib ia digerakkan sebab ia boleh menghalangi air ke anggota wuduk
12.Mualawat (berturut turut)
13.Membaca doa selepas wuduk
dalam hadis lain,rasulullah saw ada bersabda, sesiapa yang berwuduk lalu disempurnakanya wuduk itu sebagus bagusnya sesudah itu membaca doa dengan berucap asyhadu an la ilaha illallah waanna muhammadan 'abdullahi wa rasuluhu' pasti akan dibukakan baginya delapan pintu syurga yang dapat dimasukinya mana saja menurut kehendaknya







Doa selepas wuduk:
 






Aku naik saksi tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah, Tuhan yang Esa tiada sekutu bagi-Nya, dan aku naik saksi bahawasanya Nabi Muhammad itu hamba dan pesuruh-Nya. Ya Allah jadikanlah daku daripada golongan yang bertaubat, jadikanlah daku daripada golongan yang bersih, jadikanlah daku daripada golongan hamba Engkau yang soleh.
Sabda Rasullullah SAW:
"Sesiapa yang mengambil wuduk dengan baik kemudian dia berkata, Asyhadu al laa ilaaha illAllah wahdahu laa syarikalah, wa asyhadu anna Muhammadan 'Abdahu wa rasulluh, Allah hummaj 'alni minat tawwaabin, waj'alni minal mutatohhiriin (maksudnya: Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah esa (Tuhan) saja tiada sekutu bagi-Nya, dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu adalah hamba dan utusanNya. Allah jadikanlah aku dari kalangan orang yang banyak bertaubat dan jadikanlah aku dari kalangan orang yang menyucikan diri), akan dibuka untuknya kesemua lapan pintu-pintu syurga agar dia memasukinya dari mana dia suka.
(Hadis Riwayat Al-Tarmizi(50);Sahih:Sahih Al-Tarmizi(55) dan Al-Nasai(148);Sahih:Sahih Al-Nasai(148))

PERKARA MEMBATALKAN WUDUK
perkara itu ialah :
1.Keluar sesuatu dari qubul atau dubur sama ada yang keluar kentut, membuang air kecil atau air besar dan lain-lain.
2.Bersentuhan kulit lelaki dengan kulit wanita yang halal nikah dengan tidak berlapis
3.Menyentuh kemaluan (qubul atau dubur)dengan telapak tangan sama ada yang disentuh kemaluan sendiri atau kemaluan orang lain
4.Hilang akal kerana mabuk,pitam,gila dan lainnya
5.Tidur yang tidak tetap kedudukannya.

Perkara-perkara yang diharamkan ketika masih dalam hadas kecil :
pertama : sembahyang fardhu atau sunat
kedua : tawaf fardhu atau sunat
ketiga : menyentuh AL-Quran.
Syarat-syarat Wuduk
Syarat sah Wuduk itu ada enam:-
1. Orang Islam (orang bukan Islam tidak wajib berwuduk)
2. Mumayiz, iaitu telah dapat membezakan yang baik dengan yang buruk sesuatu pekerjaan.
3. Air mutlak (air yang suci lagi menyucikan).
4. Bersih dari Haidh, Nifas dan Junub atau dalam Hadas Besar.
5. Jangan ada pada anggota kita sesuatu benda yang dengannya, sebabnya tidak sampai air ke kulit/rambut/kuku seperti cat, lilin, getah, tatu di kulit, pewarna rambut, pewarna kuku.
6. Mengetahui dan dapat membezakan mana yang fardhu dan sunat.




















ISU-ISU BERKAITAN WUDUK.


ISU PERTAMA
1.    Apakah ada hadis atau fatwa atau dalil-dalil yang mengatakan bahawa bersentuh kulit suami isteri tidak batal air sembahyang?
Jawapan:
Ulamak berbeza pendapat mengenai hukum menyentuh kulit perempuan ajnabi (yang halal dinikahi).
·         Menurut mazhab Syafi’i, hukumnya batal secara mutlak (tanpa syarat). Ini termasuk dengan isteri sendiri.
Ulamak Syafi’i berdalilkan, firman Allah Taala: “Atau jika kamu (lelaki) menyentuh (laamastum) perempuan.” (al-Maidah:6)
Mereka menafsirkan laamastum (mulamasah) pada ayat di atas- dengan maksud bersentuhan (al-lams)
·         Mazhab Maliki: Menyentuh kulit perempuan ajnabi membatalkan wudhuk jika dengan tujuan `talazzuz’ (berlazat-lazat), atau mendapat kelazatan ketika bersentuhan.
Manakala Maliki menghimpunkan hujah-hujah yang dikemukakan oleh ulamak syafi’i dan hanafi.
·         Hanafi: Menyentuh kulit perempuan ajnabi tidak membatalkan secara mutlak, samada dengan tujuan talazzuz atau merasainya ketika bersentuhan.
Hanafi pula menafsirkannya dengan jimak, bukan bersentuhan. Penafsiran mereka ini disokong oleh beberapa hadis riwayat Aisyah, katanya: Bahawa Rasulullah s.a.w. mencium/kucupnya, sedangkan baginda berpuasa, dan sabdanya: Sesungguhnya ciuman tidak membatalkan wudhuk dan tidak membatalkan puasa (Riwayat Ishak bin Rahawiyah dan al-Bazzar
Ada hadis lain riwayat al-Nasa’i dan Ahmada, juga dari Aisyah, katanya: Nabi mencium sebahagian dari isterinya kemudian dia keluar mengerjakan sembahyang, dan tidak berwuduk.
ISU KEDUA
2.    Bagaimana jika ada seseorang individu yang selalu berhadas bolehkah dia mengambil air wuduk?
Jawapan:
·         Dalam beberapa kes, terdapat jemaah yang selalu berhadas atau sentiasa berada dalam keadaan kotor seperti mengidap penyakit kencing yang sentiasa menitis, luka atau bisul yang sentiasa mengalir, istihadah, buasir dan batuk lalu terkencing.
·         Jemaah berkenaan perlu mengetahui beberapa hukum-hakam yang berkaitan dengan diri mereka. Beberapa peraturan dan panduan perlu diikuti apabila mahu melakukan solat dan tawaf
Apabila masuk waktu solat, hendaklah membersihkan kotoran. Kemudian membalut tempat berkenaan dengan kemas, seterusnya berwuduk dan segera menunaikan solat.
Kadar segera yang dimaksudkan ini tidak termasuk persediaan untuk solat seperti menutup aurat, perjalanan ke masjid, menunggu jemaah, menunggu iqamah dan penentuan arah kiblat. Tetapi bukan kerana makan, berbual dan seumpamanya.
Setiap kali hendak berwuduk, wajib ditukar balutan (bagi luka atau bisul) atau lampin dan seumpamanya (bagi istihadah, buasir dan kencing yang sentiasa menitis) dengan yang baru.
Cara berniat ketika mengambil wuduk : "Sahaja aku berwuduk untuk mengharuskan solat/tawaf".
ISU KETIGA
3.    Wuduk adalah suatu ibadat. Bagaimana pula jika seeorang yang sedang berwuduk itu sambil berkata-kata?
Jawapan :
·         Wuduk merupakan suatu ibadat. Setiap ibadat mempunyai sopan-santun dalam ibadat di mulakan dengan niat.
·         Niat menentukan masuknya seorang ke dalam ibadat, kalau seseorang telah memasuki ibadat bererti ia harus hidup di dalam ibadat itu
·         Wuduk merupakan permulaan kepada solat, bermaksud ia belum memasuki solat, maka ia hanya persiapan untuk melakukan ibadat.
·         Sekalipun demikian kerana ia termasuk ibadat maka makruh di dalam melaksanakannya jika berbicara.
·         Terutama bila seorang itu mengetahui bahawa ketika berwuduk itu dosanya gugur dengan jatuhnya titisan dari air wuduk itu.
ISU KEEMPAT
4.    Adakah sah jika seseorang individu tersebut berwuduk dengan air yang bercampur dengan klorin?
Jawapan:
·         Islam mengharuskan bersuci sama ada dengan cara berwuduk dengan menggunakan air ataupun bertayamum menggunakan tanah.
·         Bersuci menggunakan air disebut dengan jelas dalam firman Allah s.w.t
Maksudnya: “Dan  ingatlah ketika Ia menurunkan kepada kamu hujan dari langit untuk mensucikan kamu dengannya.”  (surah al-anfal ayat 11).
·         Pada zaman moden ini, air mutlak ini kadang-kadang dicampurkan dengan sesuatu bahan seperti klorin dengan tujuan untuk mematikan kuman di dalamnya.
·         Dr. Ahmad Al-Syirbasi menjelaskan sebahagian fuqaha berpendapat air yang bercampur dengan sesuatu yang suci seperti sabun, mawar dan gandum hukumnya suci sebagaimana air mutlak.
·         Berdasarkan keterangan ini, dapatlah diketahui air yang bercampur dengan klorin adalah suci, kerana klorin itu sendiri adalah sesuatu yang suci.
·         Dengan ini ia sah untuk dijadikan air wuduk.
Al- Imam Abu Ishaq Asy-Syirazi menyebut:
“Apabila berubah salah satu sifat air seperti rasanya atau warnanya atau baunya, perkara ini perlu diteliti, jika yang mengubah itu merupakan sesuatu yang tidak dapat dielakkan dari air seperti teratai, garam, kapur dan lain-lainnya, haruslah berwuduk dengannya, kerana tidak mungkin air dapat dielakkan darinya, kerana itu ia dimaafkan sebagaimana dimaafkan najis dan gerakan yang sedikit dalam solat”.
ISU KELIMA
5.    Bagaimana seseorang individu itu hendak mengambil wuduk sekiranya beliau mengalami kecacatan anggota?
·         Anggota wuduk jelas disebut dalam firman Allah s.w.t
“Basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali” (Al-Ma’idah: ayat 6)
·         Menurut Dr. Ahmad Asy-Syirbasi sesetengah fuqaha’ berpendapat orang yang terputus sebahagian tangannya, tetapi masih ada sebahagian tangannya, ketika mengambil wuduk, wajib dibasuh tangan yang baki ini.
·         Orang yang terputus lengan hingga ke sikunya wajib dibasuh tempat yang terpotong.
SOALAN TAKSIRAN 2

SURAH AN-NAS             
                                                                                        
                                                                   
                                               
           




















TERJEMAHAN
1. Katakanlah (wahai Muhammad) aku pohon perlindungan pada Tuhan
yang memelihara manusia
2. Yang menguasai (dan memerintah) manusia.

3. Tuhan yang disembah manusia.
4. Dari kejahatan (Syaitan) pembisik yang datang dan menghilang.
5. Yang membisik (kejahatan) di dalam dada manusia.
6. Iaitu dari (Syaitan) jin dan manusia.
·         Dalam surah ini dipohonkan perlindungan pada Tuhan yang
memelihara manusia, yang memerintah manusia dan yang disembah
manusia dan perkara yang dipohon perlindungan ialah kejahatan Syaitan
yang datang dan menghilang iaitu yang membisik kejahatan dalam hati
manusia iaitu dari Syaitan yang tidak nampak dan Syaitan manusia.
·         Memohon perlindungan pada Tuhan yang memelihara, yang memerintah
dan yang disembah itu bererti menghadirkan sifat-sifat Allah yang Agung
yang dapat menolak segala kejahatan umumnya dan kejahatan Syaitan
pembisik yang datang dan menghilang khususnya.
·         Ar-Rab ialah sifat Allah yang memelihara, mengasuh, mengarah,
menjaga dan melindung. Al-Malik ialah sifat Allah yang memilik,
memerintah dan mentadbir. Al-Ilaah ialah sifat Allah yang menguasai segala-galanya.
·         Semua sifat-sifat ini berkuasa memberi pertolongan dan kejahatan
yang meresap dalam hati-hati manusia yang tidak mengetahui bagaimana
hendak menolak kejahatan-kejahatan yang tersembunyi itu.
·         Allah itu adalah pemelihara dan pelindung segala makhluk,
pemerintah segala makhluk dan penguasa segala makhluk, tetapi di sini
Allah disebut khusus sebagai pemelihara dan pelindung manusia,
pemerintah manusia dan Tuhan yang disembah manusia supaya manusia
merasa begitu hampir kepada-Nya dalam detik-detik mencari perlindungan
dan naungan.
·         Allah telah mengarahkan Rasul-Nya SAW dan sekalian umatnya,
supaya mencari perlindungan dan naungan pada-Nya dengan menghadirkan
pengertian-pengertian dan sifat-sifat tersebut semoga diperlindungkan
mereka dari kejahatan yang sangat halus jejak langkahnya, yang tidak
terdaya ditolakkannya melainkan dengan pertolongan Allah pemerintah dan
penguasa yang Maha Agung, kerana kejahatan yang halus itu menyerang
mereka tanpa disedari.
Mula-mula Allah menyebut sifat Syaitan sebagai:
( 4) الْخَنَّاسِ اْلوَسْوَاسِ شَرِّ مِن
4. Dari kejahatan (Syaitan) pembisik yang datang dan menghilang.
Kemudian Dia menyebut kerjanya:
 ( 5) النَّاسِ صُدُورِ فِي يُوَسْوِسُ الَّذِي
5. Yang membisik (kejahatan) di dalam dada manusia.
Kemudian Dia memperkenalkan hakikatnya:
( 6) النَّاسِ وَ الْجِنَّةِ  مِنَ
6. Iaitu dari (Syaitan) jin dan manusia.
Tafsirnya.
Surah ini diturunkan pada malam hari bersama dengan surah Al-Falaq yang lalu sebagaimana sudah kita terangkan dahulu dengan hadith yang diriwayatkan oleh Muslim, At-tirmidzi, An-Nasa’I dan lain-lain.
Surah ini adalah pelajaran dan suruhan daripada Allah supaya kita memohon dan meminta perlindungan dan peliharaan kepada Allah semata-mata, dan meminta pertolongan kepadanya menolakkan kejahatan besar kepada kita yang menyamai kejahatan-kajahatan yang tersebut pada surah yang lalu.
Dengan ayat ( 1, 2 dan 3 ) ALLAH berfirman : ‘Berkatalah, hai RasulKu Muhammad : “saya berlindung dengan Rabb manusia, yang menguasai ( Malik ) manusia tuhan, sembahan ( Ilahi ) manusia.”
Rabb manusia maknanya yang mengasuh dan mendidik manusia dengan kesenangan dan kesusahan.
Malik manusia maknanya yang menguasai manusia , membatasi perkerjaan manusia, mengatur kekuatan manusia, menurunkan syariat (peraturan), dan meletakkan batas-batas yang umum untuk manusia yang tidak boleh dilanggar atau dilampui oleh manusia.
Ilahi manusia maknanya, yang menduduki hatu manusia denagan kebenaranNya, manusia yang tidak mengetahui hingga dan keadaan kekuasaan itu, malah mereka tunduk sahaja kepada kebesaran dan kekuasaan itu dengan segenap hatinya. Manusia pula tidak pula mengetahui dari manakah datangnya perasaan itu. Ilahi manusia yang maknanya diterangkan itulah sembahan atau yang disembah manusia dengan sebenarnya, dan tempat menumpangkan nasib manusia bila mereka ditimpa kesulitan.
Pada ayat (4 dan 5) Allah menerangkan kejahatan apa yang akan dimintakan perlindungan kepada Allah daripadanya iaitu daripada kejahatan was-was yang pergi balik, yang mewas-waskan dalam dada manusia.
Dari Ibn 'Abbas RA katanya sabda Rasulullah SAW:
"Syaitan itu duduk mencangkung di atas hati manusia, apabila manusia menyebut
Allah ia akan mengundurkan diri dan apabila manusia lalai ia akan membisikkan
kejahatan."
Was-was atau bisikan syaitan itu adalah khannas, ertinya pergi balik. Maknanya bila akal manusia itu dibisiki lalu ia bangun dan memikirkan akibat (kesudahan) kejahatan apa-apa yang dibisikkan itu, bisikan itu bersembunyi, dan berhentilah syaitan meneruskan pekerjaannya ketika itu. Begitu juga bila manusia itu teringat kepada Allah dan agamanya, berhentialh pula syaitan daripada membisiki manusia. Bila akal manusia lemah dan tidak memikirkan akibat, atau manusia lupa kepada Allah,maka syaitan kembalilah meneruskan pekerjaannya membisikkan hati manusia untuk melakukan kejahatan supaya manusia itu terjerumus kepada kejahatan dan derhaka kepada Allah.
 Syaitan itu tidak bosan-bosan dan tidak malu-malu untuk menjerumuskan manusia agar melakukan kejahatan.
Ayat 6 Allah menerangkan bahawa, was-was yang khannas itu daripada jin dan manusia.
Daripada ayat ini, dan juga daripada pengalaman dan pemandangan sehari, tahulah kita bahawa , yang membisik-bisikkan  bermacam-macam kejahatan dan kederhakaan kepada hati kita itu ada syaitan yang bertubuh halus dan tidak kelihatan. Di dalam dada syaitan halus sentiasa membisiki hati kita dan mengajak kita untuk berbuat kejahatan dan derhaka terhadap Allah.
Kesimpulannya, surah an-nas ini penting untuk kita aplikasikan dalam kehidupan kita seharian kerana ia membantu kita agar dilindungi daripada gangguan syaitan. Kita juga dapat meminta pertolongan daripada Allah kerana surah An-Nas ini salah satu surah yang dapat melindungi kita daripada manusia yang dapat menyesatkan dan juga daripada gangguan syaitan dan jin. Apabila waktu malam sebelum tidur kita juga telah disarankan agar membaca surah ini agar Allah akan sentiasa menjaga kita ketika waktu tidur.




SOALAN TAKSIRAN 2 (GEJALA SOSIAL)

PERGAULAN BEBAS.
  Secara umumnya masalah sosial  merangkumi berbagai perlakuan  negatif anggota  masyarakat yang tidak membawa sokongan dan keuntungan kepada kekuatan sistem dan struktur ekonomi yang diamalkan  dalam sesuatu masyarakat ataupun negara.
   Secara perundangan tidak terdapat definisi yang khusus  bagi mengkategorikan remaja. Akta Pekerjaan Kanak-Kanak dan Orang Muda 1996 mentakrifkan  seorang kanak-kanak adalah mereka yang  berada dalam lingkungan umur 10 hingga 14 tahun. Dalam Akta Pengangkatan  1952,  kanak-kanak didefinisikan mereka yang berumur 21 tahun ke bawah. Walaupun setiap akta ini tidak menjelaskan peringkat umur tertentu, secara umumnya dalam membicarakan masalah remaja, golongan remaja yang perlu ditumpukan adalah yang berumur  di bawah 21 tahun dan sebahagian besar daripada mereka masih dalam alam persekolahan.
   Salah satu contoh gejala sosial adalah pergaulan bebas. Pergaulan bebas adalah pergaulan antara lelaki dan perempuan tanpa ada batas-batas tertentu. Pada masa kini, pergaulan bebas telah makin berleluasa di kalangan remaja. Hal ini kerana remaja mudah terpedaya dengan kenikmatan dunia yang hanya bersifat sementara dan mereka hanya mengikut kata hati mereka, bak kata pepatah “ikut hati mati, ikut rasa binasa ,ikut nafsu lesu.
   Punca-punca yang menyebabkan hal sebegini berlaku adalah kemerosotan dari segi asuhan, didikan, bimbingan serta kawalan oleh ibu bapa atau penjaga. Selain itu, tekanan  hidup, sikap mengejar kemewahan serta penglibatan dalam aktiviti sosial lain menyebabkan ibu bapa  dan anak kurang  mempunyai masa atau kesempatan untuk bercakap, berbincang, berdamping antara satu sama lain. Malah  ada yang jarang bersua muka. Keadaan ini menyebabkan remaja membawa cara hidup sendiri tanpa panduan dan pengawasan ibu bapa.
   Keluarga yang terlalu mewah cara hidupnya  juga menyebabkan keruntuhan disiplin remaja. Sebagai contoh, ibu bapa yang terlalu memanjakan anak-anak kerap memberikan  wang saku  yang terlalu banyak. Perbuatan ini menyebabkan mereka mudah dipengaruhi oleh rakan-rakan untuk membeli-belah. Kesan pergaulan  bebas dan terpengaruh dengan rakan-rakan sebaya  yang rosak akhlak akan memburukkan lagi keadaan. Juga sikap ibu bapa  yang tidak mengambil berat  tentang kelakukan dan pergaulan anak  remaja  mendorong pada kerosakkan ahklak. Remaja yang terlalu awal terdedah kepada alam masyarakat yang mempunyai sikap yang kompleks tanpa bimbingan mencukupi daripada ibu bapa juga merupakan  salah satu faktor keruntuhan akhlak.

   Pengaruh persekitaran, luaran dan media massa juga sentiasa membentuk perilaku  para remaja yang masih mentah dalam menghadapi cabaran hidup. Pelbagai dorongan yang kurang sihat dipaparkan  melalui persekitaran ini yang seterusnya menyebabkan mereka terikut-ikut  dengan pengaruh ini. Lantaran itu untuk memenuhi keinginan ini, mereka merayau-rayau di pusat-pusat membeli-belah, pusat permainan video dan secara tidak langsung terlibat dalam pergaulan bebas.
   Tarikan yang kuat terhadap pergaulan bebas dan pengaruh rakan sebaya dikenal pasti menjadi sebab utama remaja mudah melanggar nilai dan norma masyarakat. Keadaan ini sangat berkait rapat dengan pengaruh emosi yang sangat mudah meresapi jiwa remaja, iaitu mahukan melakukan sesuatu yang menyeronokkan, mencabar dan memberi kepuasan diri.
   Antara punca-punca lain keruntuhan akhlak yang berkaitan dengan hubungan kekeluargaan adalah alam rumah tangga yang tidak teratur, perpisahan ibu bapa, pertengkaran yang kerap berlaku dalam keluarga, keadaan sosio-ekonomi yang sempit, suasana rumah tangga yang tidak harmonis dan tenteram serta tidak keupayaan pihak penjaga mengawasi pendidikan anak-anaknya boleh juga membawa kepada kancah keruntuhan moral.
   Justeru, sebagai ibu bapa  dan anggota masyarakat yang bertanggungjawab, kita seharusnya  menjalankan kewajipan dengan merancang  aktiviti, mengenal pasti masalah anak, memberi nasihat,  pedoman, memberikan kemudahan-kemudahan serta mengawal anak sepanjang masa.
   Langkah-langkah mengatasi pergaulan bebas ini adalah melalui  peranan ibu bapa dalam memberikan perhatian yang serius terhadap anak-anak mereka. Ibu bapa mestilah memperhatikan setiap gerak-geri atau pergerakan anak-anak mereka dan    hendaklah sentiasa mengetahui serta mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh anak mereka. Ibu bapa juga haruslah meluangkan masa untuk mengatasi masalah tersebut dan mengetahui rakan-rakan anak mereka serta sentiasa memastikan anak-anak mereka berkawan dan bergaul dengan mereka yang mempunyai  kedudukan moral yang baik. Selain itu ibu bapa hendaklah menghabiskan sebahagian daripada masa seharian bersama anak-anak mereka dengan memberikan keyakinan, keberanian, mewujudkan sikap positif terhadap masalah, emosi dan keputusan agar ibu bapa dapat membantu dalam mengatasi masalah pergaulan bebas di kalangan remaja.
    Selain itu tingkatkan penghayatan anak-anak terhadap agama, nilai-nilai murni, motivasi, melatih anak cara bersopan, prinsip-prinsip akauntabiliti, tepati janji, berketerampilan, menunjukkan keperibadian yang mulia, amanah, sanggup menerima kelemahan diri serta meneroka potensi anak. Ibu bapa hendaklah menjadi role model kepada anak mereka. Di samping itu, melalui aspek rohani setiap remaja haruslah menanam sikap ingin berubah dalam diri mereka agar dapat menjaga adab-adab pergaulan antara lelaki dan perempuan. Sebagai contoh, Rasulullah SAW telah menunjukkan bahawa golongan yang menjadi fokus dan sasaran utama sejarah pembinaan akhlak dan budi pekerti adalah golongan remaja atau muda-mudi.
    Cara-cara menangani masalah pergaulan bebas juga adalah dengan mengadakan ceramah-ceramah terbuka dan kempen-kempen mengenai keburukan pergaulan bebas. Pendekatan seperti ni harus dilaksanakan dengan jayanya supaya para remaja akan sedar akan kesalahan yang telah mereka lakukan. Pergaulan bebas adalah suatu perbutan yang amat ditegah dalam ajaran islam. Oleh itu, setiap para remaja  haruslah berazam untuk kembali ke pangkal jalan jika ada melakukan kesalahan. Kita harus sedar dan yakin bahawa cara tindakan menyelesaikan masalah mengikut pendekatan agama lebih berkesan dan berterusan memberikan ketenangan kepada golongan remaja berbanding dengan cara tindakan umum atau tidak menggunakan pendekatan agama. Pada masa yang sama, pendekatan kaunseling dan nasihat perlu juga bergerak seiring supaya nilai-nilai keagamaan sentiasa subur di sanubari anak-anak remaja
   Pihak kerajaan juga memainkan peranan dalam mengatasi masalah ini. Antara langkah yang dapat dilaksanakan oleh pihak kerajaan adalah dengan menubuhkan pertubuhan belia .Pertubuhan belia mempunyai segala potensi untuk berperanan sebagai agen perubahan dalam membanteras gejala sosial. Potensi ini akan menjadi kenyataan apabila belia berkeupayaan menjana potensi yang ada melalui saluran yang disediakan oleh pihak kerajaan mahupun pihak-pihak lain yang terbabit. Pengiktirafan oleh semua pihak perlu dalam meletakkan pertubuhan belia samaada diperingkat kebangsaan, negeri dan daerah sebagai ‘one stop center’  bagi penganjuran aktiviti yang melibatkan belia dan masyarakat.
   Langkah-langkah pencegahan yang bersesuaian hendaklah diadakan seperti kaunseling di peringkat sekolah. Kaunseling di peringkat sekolah adalah penting dalam membantu remaja mengatasi masalah mereka. Program ini akan lebih bermakna sekiranya kaunselor-kaunselor yang berkelayakan dan berpengalaman dilantik dalam memantapkan pelaksanaan dan keberkesanan kaunseling tersebut. Ini bagi remaja yang bersekolah mereka disarankan agar berjumpa dengan guru kaunseling.
    Media massa juga berperanan dalam mengatasi permasalahan ini iaitu dengan menghadkan filem-filem yang menonojolkan  pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan. Agar para remaja tidak mudah terikut-ikut dengan anasir-anasir yang negatif.
Kesimpulannya, semua pihak haruslah berganding bahu dalam mengatasi masalah pergaulan bebas ini. Pelbagai langkah boleh diambil dan dilaksanakan, tetapi apa yang lebih penting ibu bapa mestilah memainkan peranan dan tanggungjawab dalam mengatasi masalah keruntuhan akhlak di kalangan remaja. Dengan kata lain, walau apapun langkah yang diambil oleh mana-mana pihak, tanpa kerjasama daripada ibu bapa, nescaya gejala ini sukar diatasi

No comments:

Post a Comment